majmuah 4 2010/2011

majmuah 4 2010/2011
kElmaRiN hAnYa tInGgAl KeNaNgAn...bErsAmA MeMoRi SeMaLaM...,

Wednesday, September 8, 2010

Ya Allah, letakkanlah dunia dan seluruh isinya di tangan kami, bukan di hati kami....

Dunia di tangan, Akhirat di hati.
Atas prinsip inilah yang menyebabkan para-para sahabat berjaya memacu kuda menguak debu dari benua afrika hingga ke negara china bagi menyebarkan risalah tauhid. Atas sebab ini jugalah dua per tiga dunia berada di bawah telapak kaki mereka. Namun apa yang ada di hati mereka? Akhirat.
Jika setiap seorang dari umat Islam tidak terkecuali walau seorang pun menghayati serta mangamalkan prinsip ini nescaya tidak akan wujudlah tanggapan bahawa Islam adalah agama jumud, kuno serta tidak relevan lagi hari ini. Jika prinsip ini diamalkan maka akan terkunci rapatlah mulut-mulut pengagung Islam liberal yang bertegas agama tidak lagi boleh dicampurkan dengan pemerintahan. Bahkan Islam akan menjadi agama yang paling terkedepan, paling maju dalam segenap aspek kehidupan. Kerana penganutnya dalam perjalanan menuju akhirat tangannya menggenggam dunia!
  Cuba kita bayangkan jika semua penduduk di muka bumi ini hanya menumpukan soal ukhrawi semata-mata, apa yang akan terjadi kepada dunia ini? Tiada lagi siapa yang ingin mentadbir negara, tiada yang ingin menguruskan sistem perbankan, tiada lagi peniaga-peniaga barangan, tak siapa lagi peduli untuk menjadi doktor, jurutera, peguam dan sebagainya.... Maka apakah yang akan terjadi kepada dunia?
  Dan sebaliknya jika semua penduduk di muka bumi ini tiada apapun di dalam hati mereka melainkan duniawi semata-mata. Apa pula yang akan terjadi? Masing-masing sibuk dengan urusan duniawi, mengumpul harta kekayaan siang dan malam. Akan bahagiakah mereka dengan harta benda tersebut dalam dunia yang singkat ini? Pernahkah mereka cukup dengan harta dan kekayaan itu? Apa pula yang berlaku kepada mereka yang tertewas dalam mengejar dunia itu. Mereka yang bankrup, mereka yang muflis, mereka yang ditimpa kecelakaan lainnya. Apakah hidup mereka masih bererti?
  Oleh sebab itulah Islam menggariskan umatnya agar meletakkan dunia di tangan dan akhirat di hati. Kerana dunia dan akhirat itu saling berkaitan. Dunia jambatan ke akhirat. Bagaimana kita ingin sampai ke akhirat melainkan melalui jambatannya terlebih dahulu iaitu dunia. Dan bagaimana pula hidup pencinta dunia yang hidup di atas jambatan tanpa mempercayai jambatan itu ada penghujungnya?
  Mereka yang hatinya pada akhirat, tidak akan pernah kecewa dengan banyak atau sedikitnya dunia yang berada di tangan mereka. Sebaliknya mereka dapat menjadikan dunia ini ladang untuk mereka bercucuck tanam sebagai bekal untuk dibawa ke akhirat. Mereka yang dunia ditangannya dan akhirat dihatinya tidak akan pernah jemu dengan dunia dan tidak pula terleka melupakan akhirat. Sebagai contohnya seorang peniaga yang amat sibuk setiap harinya tidak akan pernah jemu dengan pekerjaannya yang menyebabkannya tidak pernah berehat itu. Ini kerana dia yakin melalui perniagaanya itu dia dapat mendekatkan diri kepada Allah dan menyiapkan bekalan untuk akhirat kelak. Dia juga tidak akan berasa sombong dengan kekayaan yang dimilikinya kerana dia menyedari seluruh hartanya itu adalah mutlak milik Allah yang hanya dipinjamkan kepadanya. Dan sekiranya di gagal dalam perniagaanya itu dia tidak pula berasa kecewa dan putus asa kerana dia menyedari kegagalannya itu adalah takdir daripada Allah dan dia akan kembali berusaha membaiki kelemahannya untuk membangunkan semula perniagaannya sambil bertawakal kepada Allah. Hasilnya lahirlah umat yang dengan kejayaannya menyebabkan dia semakin hampir kepada Allah, dan dengan kegagalannya juga semakin menghampirkan dirinya kepada Allah.
Begitulah dahsyatnya mereka yang "Dunia di tangan, Akhirat di hati.."

No comments:

Post a Comment