majmuah 4 2010/2011

majmuah 4 2010/2011
kElmaRiN hAnYa tInGgAl KeNaNgAn...bErsAmA MeMoRi SeMaLaM...,

Saturday, September 18, 2010

Kalau Tidak Salah....

KALAU TIDAK SALAH
Karya : Tohir

Kalau tidak salah ….
Bangsa ini terhimpun dari manusia-manusia yang tak tuli
Suara tangis anak bangsa…..

Suara tangis hingga parau
Meminta jangan perangi saudara sendiri
Suara tangis hingga serak habis
Meminta jangan tutupi mata nurani

Kalau tidak salah …..
Bangsa ini terbentuk dari kumpulan manusia yang tak buta mata
Tuk melihat sekitarnya

Melihat banjir darah tak bermuara
Dari tubuh yang seakan sudah tak berharga
Melihat ratap penderitaan teramat sangat
Hadiah pahit dari serakahnya makhluk perang

Kalau tidak salah……..
Bangsa ini lahir dan tumbuh atas kerjasama dari manusia-manusia
Yang tak bisu lidah, tuk’ bicara pada dunia……

Bicara jujur dengan halus bahasa, redamkan amarah
Bicara tulus dengan bersih hati, selesaikan masalah
Bicara lantang dengan kebesaran jiwa, suarakan pada Dunia
Bangsa kita beradab dan berwibawa

Kalau tidak salah ……..
Bangsa ini terproklamasikan dari manusia-manusia
Yang tak hilang hati dan rasa mencintai

Mencintai makhluk yang terkodrati bersama
Mencintai damai yang tertakdirkan untuk sesama
Mencintai hidup demi kehidupan

Kalau tidak salah ….
Bangsa ini adalah hasil penjelmaan dari manusia-manusia
Yang punya telinga, punya mata, punya lidah dan bibir
Serta punya hati dan rasa mencintai
Untuk mempertahankan, yang telah Tuhan persatukan
Kalau tidak salah ……!!!!

Wednesday, September 15, 2010

Diamku fikir, Kalamku zikir....

Assalamualaikum, segala puja puji hanya bagi Allah, Tuhan seru sekalian alam, maha suci Allah yang menurunkan ketenangan dalam hati-hati orang beriman....
Alhamdulillah, kita semua telah selamat menjalani ibadah puasa Ramadhan, semoga Ramadhan bertandang lagi dalam hidup kita semua, insyaallah..... puasa pun sudah, raya pun sudah.... ha apa lagi yang belum??? huhu..

Ketahuilah wahai sahabat-sahabat, usia hidup kita ini merupakan modal terbaik yang dikurniakan Allah s.w.t, semalam yang telah berlalu tidak akan pernah kembali lagi kepada kita, walau apa sekalipun yang kita lakukan, walau sebanyak mana sekalipun harta yang kita guna untuk menebusnya kembali, oleh itu marilah kita menghargai setiap saat usia kita, agar modal yang ada pada diri kita ini dapat kita dagangkan sebaik-baiknya moga keuntungannya dapat kita kecapi di negeri akhirat kelak, insyaallah.... kita tidak mempunyai semalam, kerana ia tak mungkin kembali pada kita, kita juga tak punya hari esok, kerana ia belum tentu ada buat kita, kita hanya ada hari ini.... oleh itu marilah kita menghargai hari ini....

Justeru bagaimana caranya untuk kita memanfaatkan setiap saat hidup kita? agar setiap hela nafas kita, setiap degup jantung kita, setiap denyutan nadi kita mendapat keredhaan Allah. "Diamku fikir, Kalamku zikir.." insyaallah ini adalah salah satu caranya. Bayangkan jika prinsip ini dapat kita aplikasikan dalam hidup kita, maka apakah mungkin hari-hari kita berlalu dengan sia-sia sahaja? sudah semestinya tidak.

   Apabila kita diam, akal dan hati kita berfikir tentang kebesaran Allah, berfikir untuk merungkai masalah ummah, berfikir untuk memajukan masyarakat, dan berfikir untuk mendapatkan pahala dalam setiap gerak-geri amalan harian kita. Maka diam kita itu tidak akan menjadi sia-sia, bahkan setiap saat diam kita itu akan mendapatkan keredhaan Allah.... Ana tertarik dengan nasihat yang dikemukakan oleh Habiburrahman el-shirazi dalam novelnya "Ketika cinta bertasbih" melalui watak kiai Lutfi yang menasihati anakandanya Anna Althafunnisa " Anakku, alangkah indahnya jika apa saja yang kau temui, apa saja yang kau rasakan, suka, duka, nikmat, musibah, marah, lega, kecewa, bahagia, pokoknya apa sahaja anakku, bisa kau hubungkan dengan akhirat, dengan hari akhir. Dengan begitu hatimu akan sangat peka menerima cahaya hikmat dan hidayah..." bayangkan jika nasihat ini dapat kita amalkan, contohnya, apabila kita dimarahi seseorang, carilah sebab kenapa kita dimarahi, hayati perasaan kita sewaktu dimarahi itu. contohnya kita dimarahi oleh pensyarah kerana tidak menyiapkan tugasan yang diberi. Saat kita dimarahi itu pasti kita merasakan kesedihan, bercampur ketakutan dan juga penyesalan atas kesalahan kita. Lalu sewaktu kita dimarahi itu kita hayati perasaan itu dan hubungkannya dengan akhirat. Bagaimana rasanya jika yang murka itu adalah Allah kerana kita meninggalkan suruhannya dan melakukan larangannya? Bagaimana perasaan kita saat itu? Dan mampukah kita menanggungnya? Menanggung kemurkaan Allah yang semestinya berlipat kali ganda berbanding kemarahan manusia.
Alangkah baiknya jika kita dapat seperti itu. Setiap peristiwa yang berlaku dalam hidup kita dapat kita renungkan dan kaitkan dengan akhirat dan mendapatkan iktibar daripadanya.... semestinya setiap saat diam kita tidak berlalu dengan sia-sia.

   Dan apabila kita berkata-kata, kata-kata itu tidaklah sesuatu yang sia-sia. Sebaliknya  kata-kata kita itu merupakan suatu zikir yang dapat mendekatkan kita kepada Allah. Caranya? Ketahuilah setiap patah kata yang keluar dari lidah kita itu adalah dengan izin Allah. Kita sama sekali tidak mampu untuk mengeluarkan walau sepatah perkataan jika tidak diizinkan Allah. Justeru itu, adakah kita berani untuk menuturkan sesuatu yang tidak berfaedah bahkan yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah yang mengizinkan kata-kata itu keluar dari bibir kita. Masyaallah, jika kita dapat mengamalkannya dalam kehidupan kita sudah semestinya setiap patah kata kita merupakan zikir kita yang mengingatkan kita kepada Allah S.W.T...

  Insyaallah marilah kita sama-sama mengamalkannya dalam hidup kita, semoga setiap saat hidup kita, setiap saat usia kita dapat menjadi saksi pengabdian diri kita kepada Allah S.W.T....

*Selamat berhari raya dan selamat bercuti.... jangan tidak lupa juga selamat mengulangkaji pelajaran!!!! Exam is just around the corner.... hehehehe

Wednesday, September 8, 2010

Ya Allah, letakkanlah dunia dan seluruh isinya di tangan kami, bukan di hati kami....

Dunia di tangan, Akhirat di hati.
Atas prinsip inilah yang menyebabkan para-para sahabat berjaya memacu kuda menguak debu dari benua afrika hingga ke negara china bagi menyebarkan risalah tauhid. Atas sebab ini jugalah dua per tiga dunia berada di bawah telapak kaki mereka. Namun apa yang ada di hati mereka? Akhirat.
Jika setiap seorang dari umat Islam tidak terkecuali walau seorang pun menghayati serta mangamalkan prinsip ini nescaya tidak akan wujudlah tanggapan bahawa Islam adalah agama jumud, kuno serta tidak relevan lagi hari ini. Jika prinsip ini diamalkan maka akan terkunci rapatlah mulut-mulut pengagung Islam liberal yang bertegas agama tidak lagi boleh dicampurkan dengan pemerintahan. Bahkan Islam akan menjadi agama yang paling terkedepan, paling maju dalam segenap aspek kehidupan. Kerana penganutnya dalam perjalanan menuju akhirat tangannya menggenggam dunia!
  Cuba kita bayangkan jika semua penduduk di muka bumi ini hanya menumpukan soal ukhrawi semata-mata, apa yang akan terjadi kepada dunia ini? Tiada lagi siapa yang ingin mentadbir negara, tiada yang ingin menguruskan sistem perbankan, tiada lagi peniaga-peniaga barangan, tak siapa lagi peduli untuk menjadi doktor, jurutera, peguam dan sebagainya.... Maka apakah yang akan terjadi kepada dunia?
  Dan sebaliknya jika semua penduduk di muka bumi ini tiada apapun di dalam hati mereka melainkan duniawi semata-mata. Apa pula yang akan terjadi? Masing-masing sibuk dengan urusan duniawi, mengumpul harta kekayaan siang dan malam. Akan bahagiakah mereka dengan harta benda tersebut dalam dunia yang singkat ini? Pernahkah mereka cukup dengan harta dan kekayaan itu? Apa pula yang berlaku kepada mereka yang tertewas dalam mengejar dunia itu. Mereka yang bankrup, mereka yang muflis, mereka yang ditimpa kecelakaan lainnya. Apakah hidup mereka masih bererti?
  Oleh sebab itulah Islam menggariskan umatnya agar meletakkan dunia di tangan dan akhirat di hati. Kerana dunia dan akhirat itu saling berkaitan. Dunia jambatan ke akhirat. Bagaimana kita ingin sampai ke akhirat melainkan melalui jambatannya terlebih dahulu iaitu dunia. Dan bagaimana pula hidup pencinta dunia yang hidup di atas jambatan tanpa mempercayai jambatan itu ada penghujungnya?
  Mereka yang hatinya pada akhirat, tidak akan pernah kecewa dengan banyak atau sedikitnya dunia yang berada di tangan mereka. Sebaliknya mereka dapat menjadikan dunia ini ladang untuk mereka bercucuck tanam sebagai bekal untuk dibawa ke akhirat. Mereka yang dunia ditangannya dan akhirat dihatinya tidak akan pernah jemu dengan dunia dan tidak pula terleka melupakan akhirat. Sebagai contohnya seorang peniaga yang amat sibuk setiap harinya tidak akan pernah jemu dengan pekerjaannya yang menyebabkannya tidak pernah berehat itu. Ini kerana dia yakin melalui perniagaanya itu dia dapat mendekatkan diri kepada Allah dan menyiapkan bekalan untuk akhirat kelak. Dia juga tidak akan berasa sombong dengan kekayaan yang dimilikinya kerana dia menyedari seluruh hartanya itu adalah mutlak milik Allah yang hanya dipinjamkan kepadanya. Dan sekiranya di gagal dalam perniagaanya itu dia tidak pula berasa kecewa dan putus asa kerana dia menyedari kegagalannya itu adalah takdir daripada Allah dan dia akan kembali berusaha membaiki kelemahannya untuk membangunkan semula perniagaannya sambil bertawakal kepada Allah. Hasilnya lahirlah umat yang dengan kejayaannya menyebabkan dia semakin hampir kepada Allah, dan dengan kegagalannya juga semakin menghampirkan dirinya kepada Allah.
Begitulah dahsyatnya mereka yang "Dunia di tangan, Akhirat di hati.."

Kekasih yang dulu datang......

Kekasih yang dulu datang... kini ia telah kembali pulang....

Sedar tak sedar Ramadhan telah hampir meninggalkan kita.(mungkin sewaktu antum membaca ini Ramadhan telah pun meninggalkan kita)
Terasa masih baru lagi angin Ramadhan menyapa mesra ke pipi kita, memain-mainkan hujung rambut kita. Juga terasa baru lagi Majmuah 4 mengadakan liqa' "tergempar" membincangkan tarikh untuk pulang ke kampung halaman(hehehe). Kini angin Ramadhan itu sudah hampir bertiup pergi dari kita... masa terasa begitu pantas berlalu tanpa memberi sedikit kesempatan pun kepada kita untuk mengejarnya. Kita menyambut Ramadhan di dalam kemuncak kesibukan kita menyiapkan assignment dan tugas-tugas lain yang menuntut pengorbanan yang besar dari kita. Dalam situasi sebegitu cuba kita muhasabah kembali apakah kita adil dalam membahagikan masa kita? Apakah Ramadhan mendapat hak yang sepatutnya? Jika tidak marilah kita bersama-sama memperbaikinya agar Ramadhan tahun ini sekurang-kurangnya menjadikan kita lebih baik walaupun 0.00001% daripada sebelum ini.
Jika seseorang itu diberikan peluang untuk ber"dating" dengan kekasihnya selama sebulan, apakah yang akan dilakukan oleh orang itu? Dan jika tempoh pertemuannya dengan kekasihnya itu telah hampir langsai apakah tindakannya?
Begitulah halnya dengan Ramadhan. Ramadhan ialah bulan khas yang diperuntukkan oleh Allah untuk kita beribadat kepada-Nya dan waktu itu sudah hampir tamat. Semestinya kita menumpukan seluruh jiwa raga kita untuk memperbanyakkan amal soleh agar kita beroleh natijah dari Ramadhan iaitu "Takwa". Insyaallah.....
Akhir kata, semoga pesantren Ramadhan tahun ini telah menjadikan kita lebih baik daripada sebelumnya dan pesantren Ramadhan tahun hadapan lebih baik dari tahun ini.. Insyaallah...

"Selamat pulang Ramadhan.... semoga kau dapat singgah lagi di rumahku ini tahun hadapan... dan semoga aku masih ada lagi di rumah ini untuk menyambutmu tahun hadapan..."

Tuesday, September 7, 2010

SALAM LEBARAN TOK SUME!!!

 كل عام وانتم بخير

Ucapan yang tak asing lagi di HARI RAYA..">Ku dedikasikan ucapan dan doa ini untuk semua sahabat2 dari MAJMUAH 4 ..Moga2 kalian berada di bawah naungan rahmat-NYA selalu..
Ramadhan telah meninggalkan kita ..apakah kita terfikir..itu mungkin ramadhan yang terakhir..adakah ibadat di bulan RAMADHAN yang telah kita lalui diterima-Nya???">Namun AIDILFITRI yang menjelma ini..kita jadikan sebagai hari tok kita menjalinkan  kembali hubungan silaturraahim sesama kita..
Mohon ampun dan maaf dizahirkan di sini..buat sume sahabat majmuah 4 andai bicaraku..tingkah lakuku..perbuatanku..mengguris kalbu kalian ..mengusik perasaan kalian..
Moga AIDILFITRI pada kali ini bakal memberikan erti yang bermakna buat kita semua dan jangan main mercun !!!..bunga api tak pe..nnti cacat baru nak taw..
&
JANGAN LUPA!!!
EXAM!!! Just around the corner..Baca buku sama..STUDY!!!
JANGAN RAYA SAKAN SANGAT !!! 
K..TAKE CARE SUME .. 

Sedikit selingan ..memori RAMADHAN.. WAKTU MOREH !!!  bersama Along ,Angah,K/yang,Acik & Adik.

RFC...nk abes dah

semangatnya Makan..



"Opps..jgn mintak.."
Aksi kakak n adik .
 

Sunday, September 5, 2010

Selamat Pulang.......

Kasih sayang adik dan abang....
......

NAHNU

Kurma Berbuah Peluru

KURMA BERBUAH PELURU
Sepohon kurma yang ditanam bapa
kini sudah besar, “lihatlah,” ujar ibu
“bahang mentari pun
takkan mampu melayukan daunnya,
apa lagi pelepah, batang dan tunjangnya.
Kalau peluru berpandu itu tersasar
buah-buahnya akan merah
seperti bibir arwah adikmu.”
“Ya,” kataku “Merahnya juga seperti darah bapa
dadanya yang dirunjang peluru telah meyatimkan diriku
dan merenggut sepasang tangan ibu.”
Ibu merenung sepasang mataku
bibirnya menguntum kemesraan:
“Kenangan itu bak perahu
sesetengah perahu jangan biar terus tertambat
hilirkan walau di dalamnya mayat bapa dan adikmu
bila arus zaman menelannya
kau mula fikirkan masa depan kita.
Lagipun pohon kurma ini memerlukan tenagamu
manisnya kelak membuat kita lupa banyak perkara.”
Hitam pekat menjadi kening malam
sebelum busur angin memanah dingin,
kupaut bahu ibu,
arwah bapa dan adikku duduk di ruang tamu.
“Ibu, aku tidak lagi mengimpikan manis kurma
kalaulah doaku akan dimakbulkan Tuhan
biarlah kurma itu berbuah peluru.
Senapang bapa sekurang-kurangnya kembali melengking
dan aku boleh menunggu ibu di pintu syurga.”

Ramadhan Fi Nilam Puri

KULTUM(Kuliah Tujuh Minit?)
Tadarrus Al-Quran
Iftar Jam'ie
Walau berpuasa ,masih tetap bertenaga menuntut ilmu...
Zubair... Dalam kenangan....
Inilah antara aktiviti-aktivi sepanjang bulan Ramadan di APIUM Nilam Puri..... Terima kasih kepada pihak RIFQOH yang bertungkus-lumus bagi menjayakan pelbagai aktiviti sepanjang Ramadhan ini... Diharap Madrasah Ramadhan tahun ini telah membawa perubahan positif kepada kita semua...
jom layan....
Makan-makan sebelum Ramadan......

Thursday, September 2, 2010

Hanya sebuah papan tanda....

"Begini, bukankah tadi aku katakan yang kerja-kerja kau sebagai vulkanologis ini amat hampir dengan Tuhan. Kerja-kerja meneliti alam ini sangat banyak ruang untuk kau menghampiri Tuhan, bukan menjauhinya. Kau tahu alam itu ialah dari akar kata ain, lam, mim. Hah! akar kata yang sama juga menerbitkan perkataan alamat. Alamat iatu tanda, petunjuk, anugerah, indikasi, satu karektor... satu alamat untuk posmen hantarkan surat-surat kita. Satu arah tujuan, penunjuk jalan. Ini bermakna alam ini adalah alamat untuk sesuatu, alamat unutuk menunjukkan Penciptanya iaitu Allah Taa'la. Alam dunia kita ini berfungsi sebagai ayat Allah, menunjukkan destinasi menuju Tuhan. Lebih dekat seseorang dengan alam lebih dekatlah dia dengan Tuhan. Jadi bila kita nak ke sesuatu tempat, alamat itu hanyalah panduan, menunjuk arah, tak lebih dari itu. Macam satu papan tanda untuk menunjukkan simpang mana yang harus kita ambil. Kebetulan papan tanda itu diukir cantik, dihias dengan air pancuran dan sebagainya, kita pula kadang-kala jadi leka dan sibuk melihat kecantikan papan tanda yang dibuat manusia tadi sampai lambat tiba di destinasi. Begitulah ramai orang terpesona dengan alamat, dengan alam, dengan dunia ini sehingga terlupa terus ada destinasi yang harus dituju. Malah ada yang menafikan terus kewujudan destinasi akhir itu."
-Faisal Tehrani, Bila Tuhan Berbicara-

KENGKAWAN ..SAHABAT ..TEMAN..

Gambar ini baru diambil kejap tadi..( 2 sept 2010 jam 3.00 ptg ) bertempat di Dewan Johor sebelum mula kelas ISTIMA'..he..he.
Walaupun kita baru je bersua, namun terasa di kalbu ini kalian seperti keluargaku..kehadiran kalian dalam hidup ini ..ketika diri ini berada di sebuah tanah yang asing , terasa sepi..namun kalian hadir dengan membawa cahaya..yang tulus dari hati kalian..aku amat menghargainya..terima kasih buat kalian..
hadirnya kalian di sisi amat bermakna..buat MAJMUAH 4..
aku terasa hidup di APIUM ini amat bermakna..kehadiran kalian menceriakan hidup ini..
1000 penghargaan buat kalian..hanya ALLAH yang bisa membalasnya..
terima kasih buat semua..harapku ukhwah ini berkekalan hingga ke akhirat sana..meskipun selepas ini kita bakal memilih haluan masing-masing..jadikan memori antara kita ..sesuatu yang tidak dapat dilupakan sepanjang hayat..