majmuah 4 2010/2011

majmuah 4 2010/2011
kElmaRiN hAnYa tInGgAl KeNaNgAn...bErsAmA MeMoRi SeMaLaM...,

Thursday, March 31, 2011

Sepucuk Surat Dari Galapagos

                                                                                                                        Sahabat-sahabat,
                                                                                                                   Ahli Majmuah 4 sekalian,
31 Mac 1956


Kehadapan sahabat-sahabatku sekalian,
Bersyukur kehadrat Ilahi dengan limpah kurnianya, akhirnya dapat juga surat ini sampai kepada kalian. Maklumlah, di kepulauan Galapagos ini tidak disediakan perkhidmatan Pos Laju seperti di tempat kalian, jadi, satu-satunya cara bagi penulis untuk menyampaikan warkah ini ialah dengan menggunakan perkhidmatan merpati Broadband yang terpaksa terbang merentasi lautan Blogger ini. Penulis berharap ketika kalian mendapat surat ini ianya tidak dibasahi air lautan Galapagos yang terkenal masin ini. Juga diharapkan warkah ini tidak sampai menjadi cebis-cebisan akibat dimakan camar laut, jika itu terjadi sudah tentulah pesanan yang ingin penulis sampaikan tidak sampai kepada kalian.


Sahabat-sahabatku,
Kiranya tidak-lain dan tidak bukanlah tujuan penulis mengarang surat ini melainkan mengharapkan keredhaan Ilahi lah hendaknya, disamping hendak mengisi ruang-ruang khali penulis di pulau ini yang hanya makan tidur solatlah sahaja pekerjaannya. Juga untuk memenuhi desakan-desakan sahabat-sahabat di kotak sembang (chat box) yang berhajatkan post baru akibat kemarau post baru yang melanda blog majmuah kita baru-baru ini. Jadi penulis sabagai rakyat yang prihatin, dedikasi, berkomitmen, berintegriti lagi berwawasan menyahut seruan untuk meletakkan post disini. ;-)


Izinkanlah penulis memulakan ceritera penulis dengan menyebut nama Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, Bismillahirrahmanirrahim…
Ceritanya bermula begini….
  Pada suatu petang yang harmoni, disaat kicau-kicau burung bertasbih, diselangi kokokan ayam bertakbir, mengingatkan insan dunia ini hanya sekadar tempat berteduh mencari bekal menyambung perjalanan, pada ketika itu jualah penulis sedang berjalan mengharungi lautan sampah-sarap yang ditinggalkan penghuni APIUM di luar bilik mereka kerana bimbang akan ugutan saman dari pejabat asrama. Sedang penulis dengan penuh sabar dan confident melalui lorong-lorong kusam itu, mata dan hati penulis tertarik melihat sehelai kertas putih yang semakin hilang keputihannya, terselit diantara sampah-sampah tersebut. Hati penulis tergerak untuk mengambilnya dan membukanya, barang ia mungkin membawa manfaat kepada penulis, siapa tahu? (Allah tahu)

  Sebaik penulis membukanya dan membacanya baris demi baris, bait demi bait, kalimah demi kalimah, stanza demi stanza, nyatalah kepada penulis bahawa tiadalah isinya itu melainkan bermanfaat kesemuanya. Kenapalah pemilik asalnya meninggalkannya disitu seperti anak yang dibuang si ibu di tangga-tangga masjid kebelakangan ini? Kemudian penulis mengambil keputusan untuk ber”husnu dzon” dengan pemilik asalnya dengan beranggapan bahawa pemilik asalnya telah pun menghadamkan isinya ke dalam benak fikirannya. Lalu penulis pun secara tidak rasmi menjadi pemilik baru kepada kertas kumal tersebut.

  Jadi tiadalah kiranya menjadi kesalahan kepada penulis untuk berkongsi isi kertas tersebut dengan sahabat-sahabat sekalian, moga menjadi manfaat bersama dan dapat menjadi amal soleh buat penulis untuk dibawa di hari pengadilan nanti. Juga penulis ada mendengar pepatah di zaman kalian ada yang menyebut “Sharing is Caring”.
Maka tibalah masanya penulis untuk berkongsikannya kepada kalian, kerana penulis Caring dengan kalian.:-)

Kertasnya berbunyi….

KENAPA AKU DIUJI?
“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan : “Kami telah beriman, sedangkan mereka tidak diuji”? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”
-Al-Ankabut (2-3)

KENAPA AKU TIDAK DAPAT APA YANG AKU IDAM-IDAMKAN?
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.”
-AL-Baqarah:216

KENAPA UJIAN SEBERAT INI?
“Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”
Al-Baqarah:286

RASA KECEWA?
“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang beriman.”
-Ali Imran:139

BAGAIMANA AKU HARUS MENGHADAPINYA?
“Wahai orang-orang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan, dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu Berjaya (mencapai kemenangan).”
-Ali Imran:200

APA YANG AKU DAPAT DARIPADA SEMUA INI?
“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri, harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka…”
-At-Taubah:111

KEPADA SIAPA AKU BERHARAP?
“Cukuplah Allah bagiku, tidak ada tuhan selain dari-Nya. Hanya kepada-Nya aku bertawakkal.”
-At-Taubah:129

AKU DAH TAK DAPAT BERTAHAN LAGI!!!
“….dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir.”
-Yusuf:12


Semoga segala persoalan dan rintihan yang melanda jiwa dan sanubari kita terubat dengan janji-janji Allah… Sesungguhnya kepada kitab suci Al-Quran lah tempat kita merujuk segala permasalahan kerana ia ialah penawar… penwar untuk kita…. Marilah kita kembali kepada Al-Quran…


Nah, indah bukan?, terbuktilah kepada kita bahawa segala permasalahan kita, jawabannya tidak lain dan tidak bukan telah terkandung di dalam Al-Quran, yang kita telah baca (belum tentu direnungi) dalam sehari-hari hidup kita, hanya tinggal sahaja untuk kita renungi isi kandungannya…


   Rasanya tidak inginlah lagi penulis memanjang-manjangkan kalam penulis, kerana rasanya sudah sampailah masa kepada penulis untuk kembali menyambung rutin hidup penulis yang terganggu untuk mengarang surat ini…

  Amatlah penulis berharap agar sahabat-sahabat sekalian sudi apalah kiranya agar dapat mengambil barang sedikit manfaat dari warkah ini kerana penulis telah bersusah-susah mengarangnya dan mengirimnya dari kepulauan Galapagos ini… Juga adalah menjadi hajat penulis untuk memohon maaf kepada sahabat-sahabat andai penulisan penulis ini tiadalah membawa apa manfaat kepada kalian melainkan rasa mual sahaja membacanya. Percayalah, tiadalah jua menjadi niat penulis untuk menimbulkan sebarang rasa mual dan tidak senang kepada kalian sewaktu membaca surat ini. 
  Juga, tiadalah jua niat penulis untuk memeningkan kepala sahabat-sahabat sekalian dengan bahasa penulisan penulis yang kalian mungkin anggap pelik kerana inilah jua bahasa penduduk di kepulauan ini sehari-hari :-). Akhir kalam, diharapkan sahabat-sahabat yang penulis kasihi sekalian menghabiskan masa cuti kalian dengan perkara yang bermanfaat kepada kalian dan agama kalian…
Wassalam………

                                                                                                                                      Yang Benar,
                                                                                                                                            penulis
                                                                                                                 Kepulauan Galapagos,